
Dalam islam, kecerdikan tidak di ukur dengan dengan kelulusan yang dimiliki atau keputusan ujian IQ yang diperolehi. Jika itu ukurannya, maka mengapa masih ada orang yang bijak pandai tetapi terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan? Tetapi Islam mendefinasikan
kecerdikan seseorang dari segi sejauh mana dia berusaha menyelamatkan diri dari kerosakan hidup di dunia, justeru beroleh kebahagian di akhirat.
Sabda Rasulullah:
"Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati."(Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abidunya.)
Dalam sabda di atas Nabi tidak menyatakan orang yang cerdik adalah orang yang kaya, ataupun berpangkat besar, mempunyai banyak ijazah tetapi sebaliknya dengan perkataan yang mudah; iaitu mereka yang selalu mengingati mati.
Kenapa?
Orang yang selalu mengingat mati tahu sesudah kematiannya dia akan melalui alam lain yang semestinya berbeza dengan apa yang dilaluinya di dunia ini. Jika di dunia dia disanjung dan dihormati kenalan-kenalan, kaya raya dan mampu memiliki apa yang dihajatinya, tetapi di alam itu semuanya itu sudah tidak berguna lagi.
Apa yang dimilikinya di dunia tidak dapat menolongnya ketika berhadapan dengan malaikat-malaikat yang sedia menyoalnya atas apa yang dilakukan di dunia. Yang dibawanya hanyalah amalan-amalan mulia yang dilakukan sepanjang perjalanan hidupnya di dunia.
Jadi orang yang selalu mengingati mati akan sentiasa muhasabah dengan apa yang dilakukannya dan berusaha untuk mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah. Dia akan sentiasa melakukan kebaikan kerana dia tahu apa yang dilakukannya akan dibalas kelak oleh Allah s.w.t.
Begitulah rationalnya hadis tersebut. Sesungguhnya, mengingati mati adalah satu motivasi.
Melakukan apa yang diperintah Allah lantaran selalu mengingati mati bukan sahaja dianggap cerdik oleh Nabi s.a.w tetapi juga menambahkan akal.
Sabda Nabi kepada Abu Darda:
"Tambahlah akalmu, nescaya hampirlah kamu kepada Allah." Abu Darda' bertanya, "Demi ibu dan bapaku, bagaimana caranya aku mendapatnya?" Jawab Nabi s.a.w, "Jauhilah larangan-larangan Allah dan tunaikanlah kewajiban-kewajiban sepertimana yang difardhukan-Nya, nescaya kamu akan menjadi orang yang berakal." (Riwayat At-Tirmizi)
Jadi, gunakanlah akal semaksimum yang mungkin dalam usaha mencapai bukan sahaja kebahagiaan tetapi juga keselamatan di dunia dan akhirat. Keselamatan di dunia bermakna ketenangan jiwa, kebahagian dan redha dengan apa yang dilaluinya dan keselamatan akhirat ialah terlepas dari seksaan api neraka, dapat melalui titian sirat dengan selamat serta dapat merasai nikmat syurga.
Love,
Nurafeefa Bungsu
p/s: x kisahlah kita pandai atau tak, tapi yang dinilai oleh Allah sebenarnya adalah keimanan dan ketakwaan kita kepadaNya. Renung-renungkanlah dan selamat beramal :)
No comments:
Post a Comment